Friday 31 January 2014

Kelebihan Istighfar


Kelebihan Istighfar | Kisah Imam Ahmad Ibnu Hambal mengenai kelebihan istighfar.

Pada suatu hari, Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah ingin menghabiskan malamnya di sebuah masjid, tetapi penjaga masjid tidak membenarkannya (mungkin kerana dia tidak mengenali Imam Ahmad bin Hambal). Puas Imam Ahmad bin Hambal memujuk penjaga masjid tersebut, namun tidak berhasil.

Sehingga akhirnya Imam Ahmad bin Hambal berkata: “Aku akan tidur di atas kakiku sendiri (yakni tidur berdiri).” Dan sememangnya Imam Ahmad bin Hambal tidur dalam keadaan tersebut. Melihatkan keadaan itu, penjaga masjid tersebut tetap tidak berpuas hati, lalu dihalaunya Imam Ahmad bin Hanbal keluar dari masjid tersebut.

Kelihatan Imam Ahmad tenang dan tampak pada raut wajahnya ciri-ciri seorang insan yang mulia. Dalam situasi itu, seorang pembuat roti telah melihatnya. Lantas dia membawa Imam Ahmad keluar dari kawasan masjid itu dan menawarkan kepadanya tempat untuk bermalam.

Maka Imam Ahmad pun beredar bersama pembuat roti itu dan beliau telah dilayan dengan layanan yang baik. Kemudian si pembuat roti itu pun meninggalkan Imam berehat dan dia pergi menguli tepung. Imam Ahmad mendengar pembuat roti itu beristighfar tanpa henti sepanjang malam. Ini membuatkan Imam Ahmad berasa kagum terhadapnya.

Apabila menjelang pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu tentang istighfarnya malam tadi: “Apakah kamu dapat hasil dari istighfarmu itu? Imam Ahmad sengaja bertanyakan soalan ini sedangkan beliau sudah mengetahui kelebihan dan faedah istighfar.

Pembuat roti menjawab: “Ya, demi Allah aku tidak berdoa dengan satu doa pun kecuali ia akan dikabulkan Allah. Cuma ada satu doa lagi yang masih belum diperkenankan.” Imam Ahmad bertanya: “Apakah doa itu?”

Pembuat roti pun berkata: “Aku sangat menginginkan bertemu dan melihat Imam Ahmad bin Hambal.” Lantas Imam Ahmad berkata: “Akulah Ahmad bin Hambal! Demi Allah, sesungguhnya aku telah dibawa oleh Allah kepadamu!”

Wednesday 8 January 2014

Bughah: 8 laporan polis dibuat Pemuda PAS di T’ganu

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) dan tujuh Pemuda PAS kawasan membuat laporan polis serentak terhadap ‘fatwa’ songsang Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Bermula jam 10.30 pagi tadi, kesemua Dewan Pemuda PAS kawasan masing-masing di Terengganu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun kecuali Kemaman akan dibuat pada 11 Januari ini.

Manakala, Pemuda PAS Terengganu dan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Setiu membuat leporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Ketuanya, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah menyifatkan kenyataan Harussani menggelarkan rakyat yang berhimpun secara aman di ibu negara itu sebagai ‘bughah’ menyebabkan ‘saham’ mufti tersebut merudum.

Ini kerana, katanya gelaran bughah tersebut tidak menepati tiga syarat yang membolehkan hukuman tersebut dikeluarkan.

“Pertama, mesti ada kerajaan Islam. Tapi, Malaysia memang sejak dari Tunku Abdul Rahman hingga kepada Datuk Seri Najib Tun Razak keluar kenyataan Malaysia bukan Negara Islam tapi sebuah kerajaan sekular.

“Kedua, bughah itu mestilah keluar dengan bersenjata. Jadi, mereka (rakyat) yang keluar pada malam sambutan tahun baru di Dataran Merdeka itu tidak ada senjata pun yang dibawa oleh rakyat dan ini telah disahkan oleh pihak polis sendiri gambar (orang) yang cedera dan bawa parang itu bukan pada malam tersebut.

“Ketiga, pemimpin Negara Islam itu mestilah mempunyai syarat-syarat untuk (layak) sebagai khalifah. Jadi ketiga-tiga syarat itu tidak ada dan tidak layak untuk digelar ‘bughah’ oleh Mufti Perak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis bersama tiga Dewan Pemuda PAS kawasan lain di IPD Kuala Terengganu, hari ini.

Di saat kos sara hidup naik, gerai peniaga mahu diroboh

KUALA LUMPUR: Dalam keadaan rakyat sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup, sekumpulan peniaga di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang bakal kehilangan punca pendapatan.

23 gerai menjual makanan dan pakaian yang dibina dengan titik peluh mereka sendiri dalam kawasan PPR tersebut akan dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Apa  yang menghairankan mereka, semasa  bergoyong-royong mendirikan gerai-gerai tersebut, DBKL datang memantau namun tidak mengeluarkan sebarang arahan agar gerai tersebut dirobohkan.

Namun apabila hampir 100 peratus gerai siap dibina dan ada yang sudah memulakan perniagaan, DBKL mengeluarkan notis arahan agar gerai mereka dirobohkan.

Notis pertama dikeluarkan pada 14 Disember lalu diikuti dengan notis amaran pada 4 Januari yang memberi tempoh sehingga semalam untuk peniaga mengosongkan gerai mereka.

Menurut wakil peniaga, Mohd Rosli Hamid, mereka sudah berjumpa dengan pihak yang bertanggungjawab untuk membantu mereka namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga mereka memohon bantuan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk campur tangan.

"Saya berterima kasih kepada YB Tian Chua yang sudi turun berbincang dengan DBKL dan meminta mereka memberi tempoh kepada kami.

"Kami minta DBKL jangan robohkan gerai kami. Kalau suruh kami bayar sewa, kami akan bayar tapi tolong benarkan kami berniaga di PPR kami sendiri.

"Orang yang tak ada kad pengenalan, tak tahu datang dari mana boleh hidup mewah kaya-raya kita anak jati Malaysia nak berniaga pun tak boleh dan masih duduk rumah PPR," katanya ketika ditemui selepas perbincangan dengan Tian Chua dan pihak DBKL, di kawasan gerai, siang tadi.

Sementara itu, Tian Chua berkata, beliau mempunyai tempoh seminggu untuk berunding dengan DBKL agar tidak merobohkan gerai penduduk.

Tian berkata, semalam beliau berjumpa dengan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan pihak kementerian memberikan penangguhan seminggu kepada penduduk sebelum gerai dirobohkan.

"Saya ada seminggu untuk berjumpa DBKL dan bawa kes ini bagi pihak peniaga dan saya harap rundingan ini dapat dilakukan secepat mungkin.

"Dulu kawasan ini penuh dengan semak-samun dan penduduk ambil inisiatif bersihkan kawasan ini dan mereka bahagikan lot tertentu untuk teruskan perniagaan.

Sepanjang tempoh pembersihan dan mengelokkan kawasan DBKL pantau dan tidak ada arahan dan panduan oleh pihak mereka.

Sekarang sudah bersih dan semua sedia untuk berniaga teapi hujung tahun lalu ada ancaman daripada DBKL kata gerai ini harus dirobohkan.

Peniaga cuba cari semua pihak untuk dapat penjelasan dan akhirnya saya dimaklumkan dan saya cuba menyelesaikan dan harap ada satu persetujuan di antara peniaga dan DBKL," katanya.

Peniaga rayu DBKL jangan sekat punca rezeki

Dalam pada itu, beberapa peniaga yang ditemui meluahkan kekecewaan terhadap sikap Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang tidak prihatin dengan nasib mereka.

Zainab Zakaria, 45 berharap menteri dan pihak yang berkaitan turun sendiri mendengar masalah mereka.

Katanya, perniagaan tersebut merupakan punca rezeki dia dan anak-anak.

"Dapat duit berniaga nak bayar sewa rumah. Kalau kita lambat bayar DBKL datang nak kunci. Jadi mana janji ditepati yang mereka itu?

"Peniaga harapkan rezeki ini untuk bayar sewa rumah. Dalam keadaan harga barang naik, sewa rumah naik, elektrik naik macam mana kami yang tak ada duit ini nak hidup? Tolonglah simpati.

"Minta Ku Nan dengarlah luahan ibu tunggal kat sini. Yang berniaga di sini ibu tunggal, ada yang anak OKU. Tolonglah dengar luahan hati kami rakyat 1Malaysia ini.

Suruh dia turun sendiri tengok keadaan rakyat. Saya dah naik pejabat Datuk Shahrizat, naik turun tangga tapi mereka tak simpati dengan kita.

"Mana janji mereka untuk dahulukan rakyat? Masa macam inilah kita perlukan mereka," luahnya.

 Wakil peniaga, Zul Yusuf pula berkata, hanya Menteri Wilayah yang dapat menyelesaikan masalah mereka dan dia tidak akan berputus asa untuk memperjuangkan nasib mereka.

"Kami dah berniaga setahun lebih, ada berniaga tiga hingga empat tahun.

"Majoriti yang berniaga orang susah, penduduk PPR sendiri, bukan orang luar.

Yang boleh menyelesaikan masalah kita ini hanyalah menteri. Ku Nan sahaja yang boleh selesaikan masalah.

"Tolong beritahu Ku Nan tak kira dari parti mana pun,kami tetap manusia.

"Saya orang kuat Umno. Pada ketika ini kita jangan berfikir pasal parti. Ada yang bergantung sepenuhnya  pada perniagaan. Tolong prihatin penduduk di sini," katanya.

‘Bughah’ berjaya alih isu kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR: Kini sudah lebih seminggu isu kos sara hidup tenggelam oleh kerana isu 'bughah' mengambil tempat perbincangan Masyarakat Melayu Islam di luar bandar khasnya, berjaya juga isu bebanan rakyat dialihkan tetapi harga barang naik tanpa disedari dan dibantah.

“Adakah isu 'bughah' akan menangguhkan kenaikan harga tol lebuhraya dan kenaikan tarif elektrik dalam negara kita?” tanya Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dalam satu kenyataan.

Katanya, ada seketika isu ais menjadi topik tetapi turut tenggelam dengan isu hangat iaitu 'bughah' yang begitu mendalam perhatian masyarakat Melayu Islam yang mengikutinya sepanjang masa tanpa memikirkan isu lain yang sedia ada.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Harga barang tidak naik? Tahun 2014 adalah tahun kenaikan barangan keperluan harian berikutan sudah berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013 yang lalu, Barisan Nasional sudah mendapat mandat daripada rakyat untuk terus memerintah.

Dan Barisan Nasional juga mendapat mandat untuk menarik subsidi dan yang akan memberikan kesan langsung kenaikan harga barang dari sekecil-kecilnya hinggalah yang paling besar.

Barisan Nasional juga turut meluluskan kebenaran kepada beberapa syarikat perkhidmatan seperti pengguna lebuhraya dan tarif eletrik untuk menaikan harga sedia ada.

Siapakah yang akan terkesan dengan kenaikan ini? Sudah tentu rakyat yang berpendapatan rendah yang kebanyakannya terdiri daripada Orang Melayu Islam dan orang kampung yang duduk di luar bandar.

Siapakah yang mengenali Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria, Mufti Negeri Perak yang begitu popular dikalangan Mufti-Mufti di Malaysia?

Sudah tentu Masyarakat Melayu dan Islam yang duduk di luar bandar atau kampung-kampung Melayu amat meminati Tan Sri Harussani cara persembahannya. Apa yang keluar dari mulut 'orang penting' ini akan menembusi pemikiran orang Melayu Islam terutamanya.

Satu himpunan besar-besaran telah dianjurkan pada malam tahun baru yang lalu oleh Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang dapat perhatian ramai dan kebetulan tahun 2014 adalah Tahun Melawat Malaysia.

Banyak pihak mengecam himpunan tersebut kerana isu yang di bawa adalah bertujuan mengguling kerajaan, tetapi tampaknya hanya mainan pihak-pihak yang bersetuju agar kerajaan yang diperintah Barisan Nasional tidak hairan dengan kos sara hidup rakyat meningkat berikutan penarikan subsidi, perkhidmatan dinaikkan harga dan langsungnya barangan keperluan turut menyumbang naik.

Dengan satu tuduhan mengguling kerajaan, Tan Sri Harussani menggelar mereka yang berhimpun tersebut sebagai 'bughah' dan darah mereka halal serta wajar diambil tindakan drastik yang membahayakan suasana dalam negara kita.

Apakah tujuan kenyataan Tan Sri Harussani tersebut sebenarnya? Dengan kata mudah, ianya telah berjaya mengalihkan isu sebenar iaitu kesan kenaikan barang tidak dibincangkan secara umum tetapi isu 'bughah' menjadi topik perbincangan semua.

Siapakah yang membincangkan isu kos sara hidup dan isu 'bughah'? Sudah tentu Masyarakat Melayu / Islam di luar bandar tertarik dengan kedua-dua isu tersebut.

Kini sudah lebih seminggu isu kos sara hidup tenggelam oleh kerana isu 'bughah' mengambil tempat perbincangan Masyarakat Melayu Islam di luar bandar khasnya, berjaya juga isu bebanan rakyat dialihkan tetapi harga barang tetapi naik tanpa disedari dan dibantah.

Adakah isu 'bughah' akan menangguhkan kenaikan harga tol lebuhraya dan kenaikan tarif elektrik dalam negara kita?

 Ada seketika isu ais menjadi topik tetapi turut tenggelam dengan isu hangat iaitu 'bughah' yang begitu mendalam perhatian masyarakat Melayu Islam yang mengikutinya sepanjang masa tanpa memikirkan isu lain yang sedia ada.

Tahniah Barisan Nasional dan penyokong-penyokong tegar mereka kerana berjaya 'melembutkan' hati rakyat yang marah oleh kerana tekanan sara hidup yang semakin hari semangkin meningkat.

Marah rakyat berjaya dilembutkan kerana rakyat tidak tertumpu dengan membincangkan masalah di depan mata mereka, tetapi membincangkan perasaan mereka yang sayangkan kepada bangsa dan agama mereka.

Senjata ampuh ini begitu berkesan tanpa disedari dan ianya meninggalkan kesan mendalam serta tidak menjejaskan kenaikan yang tidak ditentang oleh rakyat yang sebahagian terkesan olehnya.

Isu Merc Kedah: Bekas Setiausaha Akhbar Ust. Azizan pertikai penafian Mukhriz..


Sehari selepas penafian Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mengenai pembelian sebuah Mercedes Benz S300, beberapa blog pro pembangkang semakin rancak memperkatakan isu berkenaan, termasuk tidak berpuas hati dengan penjelasan itu.

Beberapa maklum balas yang dipetik daripada laman sosial meminta kerajaan negeri membuat penjelasan terperinci berikutan ianya membabitkan perbelanjaan negeri.

Turut didedahkan menerusi laman sosial itu, mendakwa Mercedes Benz S320 bernombor pendaftaran KBV8 yang didaftar pada 5 April 2006, kini didaftarkan dengan nombor pendaftaran baharu, iaitu KDQ 9900.

Manakala plat KBV8 diletakkan pada Mercedes Benz S300, yang dikatakan dibeli beberapa bulan lalu.

Pertukaran plat itu dikatakan melalui proses retention dan boleh dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan syarat pembelian kenderaan baharu.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Besar Kedah (Tan Sri Azizan Abdul Razak), Mohd Helmi Khalid berkata, terdapat beberapa fakta meragukan berhubung penjelasan Mukhriz mengenai penafian membeli sebuah kereta baharu, kelmarin.

Berikutan itu, beliau memohon penjelasan dibuat bagi mengungkai kekeliruan yang timbul, sekiranya benar tiada pembelian dibuat.

“Selama lima tahun saya berkhidmat bawah pentadbiran Allahyarham Azizan, plat KBV8 adalah nombor pendaftaran Mercedes Benz S320, bukan S300.

"Tidak wujud Mercedes Benz S300 di Wisma Darul Aman. Manakala KCX8 model S350 dibeli pada tahun 2011 sebagai kereta rasmi tambahan,” katanya.

Menurutnya, pada ketika itu, hanya terdapat dua buah kereta rasmi yang digunakan oleh Menteri Besar, sehingga Mei 2013.

Mohd Helmi berkata, bagi mendapatkan kepastian, beliau bertanya sendiri kepada pekerja di sebuah kedai aksesori di Jalan Gangsa, yang membuat proses pertukaran plat pada kedua-dua kereta terbabit.

“Saya bukan tuduh melulu, namun timbul kekeliruan apabila plat KBV8 digunakan pada kereta lain yang digunakan oleh Menteri Besar. Adakah nombor plat itu dibeli individu lain dan digunakan pada S300 miliknya, tetapi kenapa ada tertera menteri besar pada plat itu,” katanya.

Difahamkan, Mercedes Benz S300 yang diletakkan plat KBV8 kini berada di Kuala Lumpur, manakala Mercedes Benz S320 yang ditukar kepada plat KDQ 9900 akan digunakan di Kedah.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Mohd Puat Mohd Ali ketika dihubungi, bagaimana pun enggan mengulas lanjut.

Manakala Pemangku Pengarah JPJ Kedah, Fatimah Saad yang kini berada di Kuala Lumpur, berkata, sebarang permohonan pendaftaran baharu kereta rasmi kerajaan negeri perlu didaftarkan bawah SUK dan tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

Namun, beliau mengesahkan untuk sebarang proses retention, ia membabitkan sebuah kenderaan baharu dan lama, bagaimana pun tidak dapat memberi butiran sama ada kerajaan negeri membuat permohonan itu, kerana berada di luar kawasan.

Sinar Harian

TG Nik Aziz terima Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate


KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendapat Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate oleh kerajaan negeri. Anugerah julung kali diadakan itu sempena program Penganugerahan Tokoh Anak Muda Kelate 2013 yang diadakan dua tahun sekali.

Majlis yang penuh bersejarah itu diadakan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini tengah hari tadi. Anugerah berkenaan diberikan kepadanya memandangkan beliau sentiasa menjadi idola pada anak muda tanpa mengira bangsa di negara ini. Sementara itu, pemain berbisa pasukan The Red Warriors, Mohammad Badri Mohd Radzi, atau lebih dikenali sebagai ‘Piya’ dianugerahkan Tokoh Sukan. Penyerang di posisi ‘attacking midfielder’ itu juga turut mendapat jolokan ‘Kapten Marvel’.

Sementara itu Tokoh Ulama Muda pula dianugerahkan kepada pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Tokoh Akademik pula Prof Madya Dr Irfan Mohammad. Selain itu Tokoh Usahawan, Syeikh Kyairder Syamzarey Wan Idris dan Anugerah Khas Murabi Anak Muda Kelate pula dianugerahkan kepada allahyarham Datuk Yahya Othman.

Kerajaan Kelantan turut menghadiahkan wang tunai RM2,000, pakej umrah, plak dan sijil yang ditanda tangani oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob kepada empat orang tokoh tersebut. Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi dan wakil-wakil rakyat. Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis perasmian itu, berkata kerajaan negeri menganugerahkan beberapa tokoh kepada golongan muda dengan harapan mereka menjadi contoh pada masyarakat khasnya anak muda.

“Kehebatan anak muda dalam beberapa kategori telah dicungkil untuk diberi anugerah khas pada mereka semoga anak muda yang lain ingin menjadikan contoh yang sama,” ujarnya. Sambungnya, kerajaan negeri tidak akan membiarkan golongan itu bersendirian tanpa memandu arah pada jalan kebaikan kerana mereka adalah bakal pentadbir negeri dan negara.

Tegasnya, apa lagi golongan ini mudah dibentuk, ke arah mana mereka ingin dibawa. “Sejarah Islam di zaman Rasulullah telah membuktikan anak-anak muda sebagai perisai kekuatan Islam seperti Saidina Ali, Saidina Omar, Abu Bakar dan sebagainya. “Sahabat baginda ini sewajarnya menjadi contoh bagaimana kehebatan darah muda mereka dimanfaatkan untuk Islam dan masyarakat,” ujarnya. Turut berucap pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Dr Ramli Mamat.

Tuesday 7 January 2014

Kebakaran Pasar Rantau Panjang : Saya kerugian hampir RM100,000, kata peniaga

RANTAU PANJANG: Pengarah Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Azmi Othman, melahirkan rasa simpati terhadap peniaga di Pekan Rantau Panjang apabila 74 buah premis perniagaan hangus terbakar.

Ketika memberitahu media beliau berkata, Pekan Rantau Panjang merupakan tumpuan pelancong dan merupakan tempat masyarakat setempat mencari rezeki terutama di musim perayaan.

Bagaimanapun, semuanya hangus dijilat api dalam kejadian yang berlaku pada Isnin kira-kira jam 11.30 malam itu.

Beliau memberitahu, sebanyak empat buah kenderaan bomba masing-masing dari Pasir Mas, Rantau Panjang, Kota Bharu terlibat membantu memadam api dari merebak.

“Sebarang masaalah atau maklumat rujuklah pada Ketua Balai Rantau Panjang, Nashuha Fahd,”ujarnya.

Seorang peniaga, Hamzah Mohammad, 58, ketika ditemui memohon pihak yang berkenaan membantu meringankan bebanan peniaga yang terlibat.

Beliau yang berniaga di situ sejak tahun 1989, berkata akibat kejadian itu beliau kerugian kira-kira RM100,000.

“Barang perniagaan saya semuanya dari almunium seperti peralatan dapur, periuk, kuali dan sebagainya,” ujarnya.

Sambungnya, semoga dengan bantuan itu ianya dapat menampung modal yang bakal dikumpul untuk memulakan semula perniagaan selepas ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nashuha Fahd Ahmad Mijai ketika memberitahu Harakahdaily turut mencadangkan supaya peniaga menyediakan alat pemadam api sendiri.

Katanya, ia penting bagi mengurangkan kebakaran sekurang-kurangnya dari merebak ke premis berdekatan.

“Saya juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk memadamkan kebakaran.

“Kami menerima panggilan sudah agak lewat, mungkin mereka cuba memadam api sendiri terlebih dahulu, bila tidak begitu berjaya baru menghubungi pihak kami,”ujarnya.

Katanya, ingin memadam api sendiri boleh dengan syarat berhati-hati bagaimanapun pada masa yang sama hubungi pihak Bomba dan Penyelamat terlebih dahulu.