Tuesday 7 January 2014

Kebakaran Pasar Rantau Panjang : Saya kerugian hampir RM100,000, kata peniaga

RANTAU PANJANG: Pengarah Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Azmi Othman, melahirkan rasa simpati terhadap peniaga di Pekan Rantau Panjang apabila 74 buah premis perniagaan hangus terbakar.

Ketika memberitahu media beliau berkata, Pekan Rantau Panjang merupakan tumpuan pelancong dan merupakan tempat masyarakat setempat mencari rezeki terutama di musim perayaan.

Bagaimanapun, semuanya hangus dijilat api dalam kejadian yang berlaku pada Isnin kira-kira jam 11.30 malam itu.

Beliau memberitahu, sebanyak empat buah kenderaan bomba masing-masing dari Pasir Mas, Rantau Panjang, Kota Bharu terlibat membantu memadam api dari merebak.

“Sebarang masaalah atau maklumat rujuklah pada Ketua Balai Rantau Panjang, Nashuha Fahd,”ujarnya.

Seorang peniaga, Hamzah Mohammad, 58, ketika ditemui memohon pihak yang berkenaan membantu meringankan bebanan peniaga yang terlibat.

Beliau yang berniaga di situ sejak tahun 1989, berkata akibat kejadian itu beliau kerugian kira-kira RM100,000.

“Barang perniagaan saya semuanya dari almunium seperti peralatan dapur, periuk, kuali dan sebagainya,” ujarnya.

Sambungnya, semoga dengan bantuan itu ianya dapat menampung modal yang bakal dikumpul untuk memulakan semula perniagaan selepas ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nashuha Fahd Ahmad Mijai ketika memberitahu Harakahdaily turut mencadangkan supaya peniaga menyediakan alat pemadam api sendiri.

Katanya, ia penting bagi mengurangkan kebakaran sekurang-kurangnya dari merebak ke premis berdekatan.

“Saya juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk memadamkan kebakaran.

“Kami menerima panggilan sudah agak lewat, mungkin mereka cuba memadam api sendiri terlebih dahulu, bila tidak begitu berjaya baru menghubungi pihak kami,”ujarnya.

Katanya, ingin memadam api sendiri boleh dengan syarat berhati-hati bagaimanapun pada masa yang sama hubungi pihak Bomba dan Penyelamat terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment